Global Ikhwan sentiasa di belakang perjuangan Malakat Eco

0
1514
Lokman Hakim Pfordten

CYBERJAYA – Global Ikhwan Holding Sdn Bhd (GISB) meletakkan keyakinan penuh kepada usaha Kumpulan Malakat Eco untuk mengembangkan perniagaan tanpa pinjaman daripada pihak bank.

Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Lokman Hakim Pfordten berkata, usaha untuk keluar daripada sistem riba itu bukan sesuatu yang mustahil kerana telah dibuktikan pihaknya sejak memulakan perniagaan lebih 20 tahun yang lalu.

Katanya, sebagai sahabat kepada Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, beliau amat mengharapkan Malakat Eco berkembang sebagai satu lagi perniagaan yang berlandaskan tuntutan agama sepenuhnya.

“GISB sentiasa berpegang kepada prinsip kekayaan di dunia ini milik Allah. Hanya Dia yang mampu memberi dan mengambil semula kekayaan daripada makhluk-Nya.

“Mintalah dari Allah atau (bank Tuhan), percayalah ada jalannya kerana GISB telah lalui itu semua. Ia akan dipermudahkan dari semasa ke semasa.

“Cabaran perniagaan (tanpa pinjaman) sudah tentu bukan sesuatu yang mudah pada masa sekarang kerana akan ada sahaja cabaran yang akan menarik kita untuk lari dari landasan-Nya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Untuk rekod, GISB yang bermula pada 2000 kini mempunyai dua pasar raya, 38 Ikhwan Mart dan 120 buah restoran dengan 5,300 kakitangan di seluruh dunia.

“Kami sedar ini bukanlah keupayaan, kebijkasanaan dan kepandaian kami tetapi ia adalah pertolongan dari Allah. Kami juga perlu kembalikan segala nikmat ini kepada Allah,” katanya.

Lokman Hakim (kanan) bersama Nadzim Johan (Tokki) mengiringi kunjungan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar ke Malakat Mall hari ini.
Syarikat Global Ikhwan yang kini beroperasi di seluruh dunia.

Lokman Hakim berada di Malakat Mall sempena kunjungan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan @ Tokki.

Hadir sama Pengarah Eksekutif dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Malakat Eco, Adzhar Mohd. Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Affandi Hamzah.

Sementara itu Lokman Hakim berkata, GISB sentiasa menyokong perniagaan Malakat Mall dalam usaha membangunkan ekonomi dan memenuhi keperluan pengguna Islam di negara ini.

Pada peringkat ini katanya, pihaknya menjadi salah satu daripada pembekal produk-produk di Malakat Grocer dan sentiasa terbuka untuk perkongsian idea, pendapat dan pengalaman.

“Apa yang dilakukan oleh Malakat Mall ini adalah fardu kifayah dan perniagaan ini adalah ibadah.

“GISB dengan Malakat mempunyai hubungan ukhwah Islamiah yang kuat dan kita perlu melengkapi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here