Harga barang naik: PN anjur Gerai Prihatin Rakyat

0
41
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat susulan kenaikan harga barangan di seluruh negara.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gerai tersebut akan menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menggesa kerajaan supaya Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau
mengikuti dengan dekat perkembangan semasa berkenaan isu kenaikan harga barang di Malaysia terutamanya barang makanan.

Katanya, data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September lalu berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Muhyiddin berkata, situasi itu akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna.

“Selaku Pengerusi MPN saya memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hemat saya akan menjejaskan proses pemulihan negara. Rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka.

“MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor-sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran untuk memenuhi pemintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi oleh
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan penekanan khusus oleh MPN.

“Sehubungan itu, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here