Hasrat jadi isteri menteri lebur ditipu scam Facebook

0
47
Gambar hiasan.

KUANTAN – Impian seorang wanita ‘mempertaruhkan’ bayaran pendahuluan sebanyak RM4,200 untuk menjadi isteri kepada seorang menteri lebur apabila diperdaya seorang ejen yang dikenali melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah dijanjikan hadiah sebuah kereta mewah jenama Rolls Royce dan wang tunai RM 1 juta sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut.

Bagaimanapun katanya, selepas mangsa membuat bayaran wang ‘yuran perkahwinan’ yang diminta oleh ‘ejen menteri’, dia mula mengesyaki bahawa lelaki berkenaan hanya menyamar sebagai menteri.

“Mangsa seorang wanita berusia 59 tahun telah dihubungi melalui Whatsapp dan diminta berhubung dengan seorang wanita bernama Siti yang kononnya bertugas sebagai pengurus kewangan kepada menteri tersebut.

“Pada Jumaat lalu, mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui mesin deposit sebuah bank ke akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Wazir, mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh, semalam.

“Tindakan itu diambil mangsa kerana bimbang dengan keselamatan diri, keluarga dan hartanya di kemudian hari,” katanya.

Mohd Wazir berkata, polis percaya suspek menggunakan identiti salah seorang menteri untuk menipu mangsa dan menyeru orang ramai yang pernah ditipu dengan cara yang sama supaya tampil membuat aduan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here