Hasrat keluar wang KWSP 10K menyala semula, PM setuju bincang dengan Menteri Kewangan – kata Asyraf

0
1319
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam

CYBERJAYA – Hasrat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas akibat Covid-19 untuk mengeluarkan wang simpanan mereka dalam i-Citra sebanyak RM10,000 selepas tidak ‘dilayan’ dalam Belanjawan 2022 bernyala semula selepas mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas mengadakan pertemuan ringkas bersama Perdana Menteri sebaik berakhirnya Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, semalam.

“Saya memberikan penjelasan kepada Perdana Menteri bahawa ramai yang memang dalam keadaan susah dan terdesak pasca PKP untuk memulakan kehidupan akibat dibuang kerja, pemotongan gaji, cuti tanpa gaji dan hilang punca pendapatan sejak awal tahun lagi.

“Dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak, rata-rata begitu memerlukan pengeluaran buat kali terakhir untuk kelangsungan hidup, bahkan ada yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, beliau turut mencadangkan supaya pengeluaran itu diberikan pilihan kepada mereka yang benar-benar terdesak dan terhad kepada yang mempunyai baki yang mencukupi.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Perdana Menteri juga mengakui keperluan tersebut dan membaca setiap komen-komen di media sosial beliau yang memperlihatkan ramai memberikan maklum balas serupa mengenai isu i-Citra KWSP ini.

Katanya, Perdana Menteri turut memberi jaminan untuk berbincang dan membawa perkara itu kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here