HPTN jadi landasan pendedahan bidang teknikal

0
9
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada majlis perasmian HPTN 2021.

KUALA LUMPUR – Penggiat industri dan profesional teknikal diharap dapat menjadikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) sebagai landasan memberi pendedahan dan  informasi berkaitan bidang teknikal kepada masyarakat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha berkenaan diyakini dapat menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berkecimpung dan menyumbang dalam industri ini untuk memberi nilai tambah kepada negara.

Fadillah berkata, warga teknikal negara juga perlu melihat potensi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai peluang penciptaan dalam mempelopori teknologi, perniagaan dan pekerjaan baharu.

“Bagi menyokong pertumbuhan baharu industri pembinaan berimpak  tinggi dan memperkasa konsep insfrastruktur lestari dan berkualiti, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembinaan Negara (NCP 2030).

“Dasar itu bertujuan memacu pengaplikasian teknologi dalam  kitaran proses pembinaan dengan bertemakan ‘Digitalisasi Sektor  Pembinaan’ selari dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025).

“Ia bagi membantu industri  pembinaan mendepani era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4) menerusi penekanan terhadap peningkatan kemahiran dan pengetahuan serta penggunaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021 yang diadakan secara maya hari ini, HPTN 2021 itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Fadillah, sehingga kini, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi di bawah kementerian mengaplikasi dan mengadaptasi teknologi Building Information Modelling (BIM) dalam  pelaksanaan projek sedia ada.

Katanya, pengiktirafan pegawai JKR  Malaysia sebagai Pegawai Bidang Khusus atau (SME) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyuntik semangat kepada warga kerja  kementerian untuk lebih maju dalam profesion teknikal. 

Beliau menjelaskan, kepakaran  teknikal pegawai JKR bukan sahaja kepada skop kerja seharian, namun dizahirkan juga di dalam bentuk perkongsian ilmu seumpama ini. 

“Oleh itu, kementerian menaruh harapan tinggi kepada JKR untuk melahir, mengasah dan menggilap warga kerja untuk menjadi pakar rujuk teknikal negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here