Hujan berterusan punca kejadian tanah runtuh di laluan Simpang Pulai-Blue Valley

0
57
Pasukan pencari sedang cuba untuk mengeluarkan salah seorang mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan Simpang Pulai-Blue Valley, semalam.

CYBERJAYA – Kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang mengorbankan dua mangsa semalam, berpunca daripada keadaan hujan yang berterusan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir. Hamdan Ali berkata, berdasarkan alat pengesan jumlah taburan hujan yang direkodkan di lokasi, kadar taburan hujan agak tinggi iaitu sebanyak 217 mililiter selama dua minggu dan keadaannya yang berterusan menyebabkan berlakunya kelemahan pada tebing jalan seterusnya berlaku runtuhan tanah.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati bahawa ia adalah satu runtuhan yang besar membabitkan melebihi 10,000 meter kiub tanah,” katanya kepada Bernama ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian, hari ini.

Hamdan berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah bagi tindakan jangka masa pendek.

“Oleh kerana kandungan tanah yang tinggi, kami akan melakukan pembersihan tanah selama satu minggu dan kami akan sentiasa membuat pemantauan keadaan kestabilan cerun dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti tindakan untuk jangka masa panjang.

“Setakat ini kami masih dalam kajian untuk membuat proses kerja pembaikan jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, kejadian tanah runtuh di kawasan itu merupakan pertama kali berlaku dan berlaku di luar jangkaan.

“Keadaan cerun itu sebahagian stabil dan sebahagian lagi tidak stabil, jadi kami masih lagi dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas adalah kira-kira 100 meter,” kata Hamdan.

Beliau kemudiannya menambah, laluan berkenaan dijangka akan dibuka semula pada 9 Dis ini setelah selesai kerja-kerja pembersihan dan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here