Jambatan Dengkil dijangka dibuka semula 20 Januari ini

0
39
Amirudin Shari mendengar taklimat daripada pihak Pejabat Daerah Sepang berhubung pembaikan jambatan Dengkil yang terputus akibat hakisan sejak 17 Disember lalu.

DENGKIL – Jambatan Dengkil yang terputus akibat hakisan dan mendapan tanah sejak 17 Disember lalu dijangka dibuka semula kepada laluan selewat-lewatnya pada 20 Januari tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembaikan jambatan yang menghubungkan kawasan sebelah Putrajaya, Cyberjaya dan Bangi di Seri Delima itu dijangka siap lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata, daripada taklimat yang diberikan oleh Jurutera Daerah (DJ), kerja pembinaan tambak dan membaiki hakisan yang menyebabkan pangkal jambatan itu terputus dua kini siap 30 peratus.

“JD kata jambatan ini dijangka siap pada minggu kedua Januari. Tapi kita tidak mahu janji bukan-bukan, kita ikut jadual tapi maksimum ia akan dibuka selewat-lewatnya 20 Januari,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada kunjungan itu Amiruddin melawat tapak projek pembaikan jambatan itu yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Terdahulu, beliau meninjau kawasan penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Cemperai, di sini.

Kerja-kerja pembaikan Jambatan Dengkil yang terputus akibat hakisan sejak 17 Disember lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor akan melakukan pemantauan dan penambahbaikan terhadap ban-ban Sungai Langat yang dijangka menelan kos RM2.8 juta.

“Usaha pembinaan ban baru dan pengukuhan semula ban sungai ini penting bagi mencegah masalah ban pecah yang banyak berlaku semasa banjir baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu katanya, projek tembatan Sungai Langat telah bermula pada Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023.

“Kalau kita lihat pada papan tanda, projek tembatan Sungai Langat ini telah bermula pada Julai 2021 tapi belum siap sepenuhnya.

“Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri melalui JPS untuk menangani masalah banjir di daerah Sepang,” katanya.

Amirudin Shari mendengar penjelasan pihak JPS Sepang berhubung pembaikan jambatan Dengkil yang dijangka siap pada 20 Januari 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here