Jambatan Dengkil ditutup selepas ‘putus dua’

0
2275
Bahagian pangkal Jambatan Sungai Langat di Dengkil yang terputus dua akibat hakisan dan mendapan tanah pagi ini.

DENGKIL – Jambatan Sungai Langat berhampiran Pasar Dengkil di sini ditutup kepada laluan selepas berlaku tanah mendap di pangkal jambatan.

Mendapan tanah yang berlaku sejak 15 Disember itu bertambah teruk beberapa hari lalu sehingga ‘terputus’ sepenuhnya malam tadi.

Hakisan dan tanah mendap itu dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di pangkal jambatan tersebut ekoran hujan lebat.

Penutupan jalan yang menghubungkan laluan utama bagi kawasan Bangi, Cyberjaya dan Putrajaya dengan Pekan Dengkil itu tular pagi ini.

Dalam perkongsian video di media sosial oleh Yasmin Hanani Mohd Sopian jelas menunjukkan pangkal jambatan telah terputus sepenuhnya.

Sebagai langkah keselamatan, laluan tersebut telah dihalang dengan kon bagi menghalang orang ramai daripada melalui laluan itu dan sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut perkongsian di Facebook MyDengkil yang memetik akaun Adhif Syan Abdullah, kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang dan telah mendapat kelulusan JKR Selangor untuk dibaik pulih.

Hakisan dan mendapan pada 15 Disember lalu.
Rekahan di pangkal jambatan yang semakin serius semalam sebelum terputus dua hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here