Jualan melonjak 5 kali ganda di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

0
33
Pasangan Nik Siti Nurmatriini (kanan) dan Mohd Fazli Zainal Abidin melayan pelanggan di gerai jualannya sempena AKN di KLCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Peluang menyertai gerai usahawan sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di sini umpama ‘durian runtuh’ bagi pasangan suami isteri apabila memperoleh jualan lima kali ganda dari kebiasaan.

Nik Siti Nurmatriini Nik Mustapha, 28, merupakan salah seorang daripada usahawan yang ditemui sempena penganjuran AKM yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sejak Khamis lalu.

Pemilik Hana’s Kitchen itu berkata, beliau terkejut dengan sambutan luar jangka sejak dari hari pertama program apabila stok lasagna dan shepeard pie yang dijual habis dalam masa beberapa jam.

Beliau yang selama ini menjalankan perniagaan dari rumah di Kuang, Sungai Buloh, Selangor berkata, penyertaan syarikatnya bukan sahaja memberi peluang menjana pendapatan bahkan memperkenalkan produknya kepada ribuan pelanggan.

“Sambutan sangat hebat sejak dari hari pertama lagi. Kalau buat secara online, jualan kami biasanya sekitar 50 pek sehari, itu pun bergantung kepada tempahan.

“Di sini kami mampu menjual sehingga lebih 300 pek sehari. Walaupun penat menyediakan stok, tapi kami puas hati apabila ramai pelanggan yang berulang kali datang membeli,” katanya yang dibantu suami, Mohd Fazli Zainal Abidin, 32.

Pemilik Hana’s Kitchen melayan pelanggan di gerai APM, KLCC di sini hari ini.

Nik Siti Nurmatriini yang pertama kali menyertai jualan di pameran berskala besar seperti itu berkata, syarikatnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menyediakan peluang itu.

“Kami benar-benar berterima kasih kepada kerajaan atas penganjuran program ini dan pihak AIM kerana memberi peluang yang tidak ternilai ini.

“Selain peluang keemasan ini, kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan usahawan AKM.

“Alhamdulillah semua proses dan aspek pematuhan berjalan dengan cukup lancar,” katanya.

Peluang itu katanya diberikan selepas syarikatnya mendapat bimbingan perniagaan melalui program anjuran AIM dengan Institut Keusahawanan Negara (Insken) yang memberi latihan dalam pengurusan perniagaan dan juga aspek pemasaran.

Nik Siti Nurmatriini berkata, perniagaan yang bermula dengan produk pes masakan kira-kira 5 tahun lalu itu pada mulanya diusahakan untuk menampung pendapatan keluarga.

Sajian menyelerakan hasil tangan Hana’s Kitchen.

Katanya, ia mula berkembang selepas penularan Covid-19 yang memaksa orang ramai membeli makanan melalui serivs tempahan dalam talian dan penghantaran.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk Hana’s Kitchen boleh menghubungi talian 0193656526 atau lawati laman Facebook dan Instagram Hana’s Kitchen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here