Karnival Kerja Keluarga Malaysia beri perspektif baharu pada bakal graduan

0
9
Orang ramai mendaftar untuk sesi temuduga terbuka di Karnival Kerjaya sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

KUALA LUMPUR – Pengalaman berkunjung ke Karnival Kerja sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini memberi pendedahan berguna kepada bakal graduan.

Pelajar Jurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandaraya Melaka, Puteri Dalili Irdena Saharudin, 23, berkata, peluang hadir secara fizikal ke program itu banyak memberi maklumat untuk persediaannya melangkah ke alam kerjaya.

Dia yang pertama kali hadir ke karnival seumpama itu mengaku agak terkejut melihat penglibatan pelbagai pihak dalam program itu.

“Saya lihat semua proses bermula dari pendaftaran sehingga sesi temuduga sebenar dengan majikan dijalankan dengan teratur dengan baik.

“Ini peluang dan pendedahan yang selama ini saya tidak tahu ada disediakan kerajaan. Cukup berguna dan penting.

“Sekurang-kurangnya kehadiran saya hari ini dapat memberi gambaran dan persediaan yang saya perlu lakukan sebaik sahaja tamat pengajian,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir Karnival Kerjaya AKM di sini.

Puteri Dalili Irdena Saharudin (kiri) Nur Azreen Amirah Aziz (kanan)
Sesi temuduga yang turut diadakan pada Karnival Kerja AKN di KLCC.

Karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berakhir semalam melibatkan penyertaan kira-kira 50 majikan dan agensi-agensi kerajaan dengan tawaran kira-kira 20,000 peluang pekerjaan.

Puteri Dalili yang sedang menjalani program Protege selama lapan bulan di TM Cyberjaya mencadangkan kerajaan dan agensi yang berkaitan supaya memperluaskan penganjuran karnival itu di institusi pengajian tinggi supaya lebih ramai pelajar menerima manfaatnya.

Sementara itu, pelajar UiTM Shah Alam, Nur Azreen Amirah Aziz, 21, berkata, selain peluang pekerjaan, karnival itu juga menawarkan peluang latihan industri kepada pelajar yang masih menuntut di IPT.

“Kunjungan saya hari ini tepat pada masanya untuk saya intai peluang latihan industri di syarikat-syarikat yang turut serta dalam karnival ini.

“Kebanyakan daripada syarikat yang ada juga adalah syarikat gergasi dan bereputasi tinggi,” katanya.

Selain daripada itu, Nur Azreen berkata, peluang melawat gerai-gerai di karnival itu juga memberi pengetahuan baharu mengenai fungsi dan peranan agensi-agensi yang ada di bawah KSM.

“Selama ini saya tidak begitu ambil tahu apa fungsi agensi-agensi seperti TalentCorp dan HRDCorp, yang menyediakan pelbagai inisiatif, latihan dan kursus kepada graduan.

Muhammad Afiq Mohamad Nor

Bagi graduan Universiti Petronas, Muhammad Afiq Mohamad Nor, penganjuran karnival itu tepat pada masanya terutama selepas pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

“Sememangnya ini yang ditunggu-tunggu graduan fresh seperti saya sebab kami tidak boleh bergantung kepada permohonan secara online semata-mata.

“Temuduga secara bersemuka seperti yang diadakan di sini sebenarnya memberi peluang yang adil kepada mereka yang benar-benar layak,” kata graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here