Kawasan perairan Sabah di kawal ketat- Bung Moktar

0
25
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Tahap keselamatan di Sabah berada dalam keadaan terkawal walaupun terdapat laporan media antarabangsa yang mendakwa terdapat komplot perancangan serangan ke atas Sabah oleh Tentera Diraja Sulu (RSA).

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu telah mendapat perhatian para pemimpin di Sabah dan beliau sendiri telah berhubung dengan pihak keselamatan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui pada majlis menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Virotex Sdn. Bhd dan SMART Sabah Corporation Sdn. Bhd.

“Mereka (pihak keselamatan dan ESSCom) beri jaminan bahawa kawasan perairan dan sempadan akan terus diberikan perhatian oleh pihak keselamatan Sabah.

“Kita tidak akan mengizinkan mana-mana pihak membuat ancaman atau kacau bilau keamanan Sabah, sempadan kita (Sabah) sekarang dikawal ketat pihak keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang mendakwa terdapat komplot perancangan serangan ke atas Sabah oleh Tentera Diraja Sulu.

Sebelum ini, media antarabangsa South China Morning Post (SCMP) melaporkan wujud komplot oleh Tentera Diraja Sulu untuk menyerang Sabah.

Laporan itu menyatakan terdapat satu pertemuan rahsia dalam kalangan 19 Datuk Bandar di Filipina bagi membincangkan pengambilan 600 tentera bersenjata untuk melakukan serangan yang dijangka pada sekitar Februari 2022, sebagai memperingati peristiwa Lahad Datu 2013.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, sama ada benar atau tidak tentang dakwaan itu, semua pihak perlu berwaspada kerana malang tidak berbau.


“Dalam keadaan begini kita kena hati-hati, nasihat saya kepada rakyat Sabah, jika keluar ke laut berhati-hati dan jangan sampai ke tengah malam,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan negeri Sabah akan mengarahkan perintah berkurung, Bung Moktar berkata, ia belum sampai ke arah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here