Kedudukan sekolah vernakular diiktiraf sebelum Merdeka

0
36
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kedudukan sekolah vernakular telah lama diiktiraf dalam rangka kerja perundangan sistem pendidikan sebelum Merdeka dan wujudnya Perlembagaan Persekutuan.

Menurut portal Malaysia Gazette, hujah itu dijelaskan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dalam penghakimannya ketika menolak saman yang mempersoalkan keperlembagaan sekolah vernakular.

Beliau berkata, ini terbukti dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan 1957, dan susulan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, sekolah vernakular diberi pengiktirafan sewajarnya bawah Akta Pendidikan 1961 serta 1996.

Menurut Nazlan, pelaksanaan hak perlembagaan ini oleh kerajaan bukan sahaja terhad kepada pengajian Bahasa Tamil dan Mandarin, malah diperluaskan kepada penggunaannya sebagai bahasa pengantar pengajaran.

“Menggunakan pendekatan prismatik kepada penggubalan peruntukan Perlembagaan, saya menganggap penggunaan Bahasa Mandarin atau Tamil sebagai bahasa pengantar adalah untuk mengajar mata pelajaran lain,” katanya dalam hujah tersebut.

Justeru, kerajaan melalui Akta Pendidikan terus memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajian bahasa komuniti di negara ini.

“Ini dilindungi bawah Perkara 152(1)(b) Perlembagaan,” katanya.

Oleh itu, beliau menjelaskan, “jika kerajaan persekutuan mahu, ia mempunyai kuasa untuk memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pembelajaran Bahasa Mandarin atau Tamil di negara ini.”

Nazlan membuat kenyataan itu ketika membatalkan saman yang dikemukakan oleh tiga kumpulan Melayu-Islam yang menyatakan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa-bahasa ini mengenepikan penggunaan Bahasa Malaysia, bahasa rasmi negara.

Beliau berkata, tidak seperti universiti, sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan oleh itu, penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran bukanlah untuk tujuan rasmi.

Katanya, Penyata Razak pada 1956 memperkenalkan langkah kompromi di mana sekolah vernakular dibenarkan mengekalkan penggunaan bahasa ibunda, manakala Bahasa Melayu akan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.

Oleh itu, rekod dan latar belakang sejarah menunjukkan bahawa sebelum Merdeka, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah lama diiktiraf dan diterima di negara ini.

“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah diragui dan, pada masa sama, secara nyata dihasratkan untuk tidak menjejaskan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan,” katanya.

“Boleh dikatakan dengan adil bahawa tujuan dan niat Perkara 152 mengenai bahasa kebangsaan bukanlah untuk melarang penggunaan bahasa lain di sekolah vernakular.”

Saman itu dimulakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) pada Disember 2019.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru batal dan tidak sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here