
CYBERJAYA – Negeri Kelantan dan Sarawak akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin depan.
Perkembangan ini menjadikan semua negeri telah beralih ke fasa tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama bagi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyeru orang ramai supaya tidak berasa selesa dengan peralihan fasa berkenaan ketika wabak Covid-19 masih lagi menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.
“Semua pihak harus terus mematuhi SOP yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.
“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.