Kenaikan paras air Sungai Lui tidak membimbangkan

0
25
Aliran Sungai Lui di Kampung Jawa yang dikatakan mengalami kenaikan paras air malam tadi.

HULU LANGAT – Orang ramai khususnya penduduk di sekitar daerah ini dinasihatkan supaya tidak panik ekoran tularnya berita kenaikan semula paras air Sungai Lui sejak malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata, satu pemantauan telah dilakukan di lokasi dan keadaan paras sungai hanya mengalami sedikit kenaikan dan sudah mula surut sepenuhnya.

“Selepas menerima maklumat dan melihat kandungan yang tular dalam video itu, kami telah meninjau beberapa lokasi di sepanjang Sungai Lui dan Sungai Langat.

“Buat masa ini keadaan masih selamat dan kami sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan memerlukan,” katanya hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican malam tadi berkongsi sedutan video yang mendakwa berlaku kenaikan air di Sungai Lui.

“Saya terima kiriman Whatsapp daripada beberapa rakan dan penduduk menyatakan air Sungai Lui kembali naik malam ini.

“Apa pun, kita perlu sentiasa alert dan waspada. Insya Allah, doa yang baik-baik untuk sahabat-sahabat kita di kawasan sekitar, di sana, ” katanya dalam hantar Facebooknya.

Rakaman video yang dipercayai dirakam di Kampung Jawa berhampiran sebuah jambatan yang musnah akibat banjir besar baru-baru ini.

Daerah Hulu Langat pada 18 Disember lalu dilanda banjir yang menenggelamkan kawasan beberapa penempatan di sepanjang Sungai Langat dan Sungai Lui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here