Kerajaan akan laksanakan rasionalisasi terhadap RAS

0
8
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah hari ini

MUKAH –  Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar atau Rural Air Service (RAS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah berkenaan adalah sebagai penambahbaikan oleh anak syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB), MASwings. 

Beliau berkata, kerajaan antara lain akan melaksanakan rasionalisasi berkenaan termasuk mengkaji semula implikasi kewangan yang terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS. 

katanya, kadar tambang yang dikenakan selain pesawat diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada penggunaan perkhidmatan penerbangan itu dari semasa ke semasa juga akan dikaji. 

“Ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik,” katanya ketika merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah hari ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Timbalannya, Datuk Henry Sum Agong. 

Menurut Ismail Sabri, perkhidmatan RAS disediakan kerajaan di Sarawak dan Sabah pada 2008 melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008. 

“Bermula tahun 2019, satu perjanjian baharu iaitu Public Service Obligation for Rural Air Services Agreement (PSO for RAS) telah ditandatangani pada 4 Januari 2019 antara kerajaan Malaysia dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan RAS  sehingga tahun 2024,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, beliau berbangga projek Lapangan Terbang Baharu Mukah dapat disiapkan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. 

Katanya, Ini bukan sahaja satu pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan.

“Pembinaan lapangan terbang ini diyakini akan merancakkan peluang ekonomi yang memberi impak berganda kepada penduduk di sini serta Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selain kemudahan yang selesa dan moden, kerajaan perlu memastikan kesiagaan dan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara meliputi sistem radar pemantauan udara, sistem navigasi penerbangan, sistem komunikasi radio dan sistem automasi pengawal trafik udara sentiasa dinaiktaraf dan mampu menampung keperluan peningkatan pergerakan pesawat di ruang udara. 

“Saya dimaklumkan bahawa lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here