Kerajaan komited sediakan rumah mampu milik-PM

0
8

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, usaha berkenaan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030.

Ismail Sabri berkata, melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, tumpuan diberikan kepada kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan cabaran nilai hartanah semakin tinggi.

“Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah berpatutan dan mampu milik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan,Datuk Seri Shahidan Kassim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong.

Residensi Kuchaimas projek kediaman dibina secara kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Aset Kayamas Sdn Bhd.

Program itu merealisasikan impian warga kota khusus berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang selesa dan kondusif pada harga mampu milik.

Residensi Kuchaimas ini menawarkan blok bangunan 49 tingkat dengan 478 unit kediaman berharga RM198,000 seunit.

Ismail Sabri berkata, Residensi Kuchaimas menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus penghuninya adalah Bumiputera, 37.4 peratus Cina dan 2.3 peratus India.

“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyambut baik dan berterima kasih kerana pemaju berjaya menyediakan rumah mampu milik itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here