Kerajaan negeri diarah selesaikan masalah penerokaan tanah haram sebelum 1 Jun 2022

0
48
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia diarahkan supaya melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan mencari penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun tahun hadapan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 yang telah bersidang secara maya, semalam.

Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 di Putrajaya, semalam.

“MTN kali ini telah bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia dan supaya semua kerajaan negeri melaksanakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau lagi, MTN Ke-79 telah turut bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari 2021.

“MTN juga bersetuju supaya RUU ini dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun 2022 dan dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing.

“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun dan MTN Ke-79 turut mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat,” katanya lagi.

Jelas kenyataan itu, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu berunding dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat yang akan dilantik mematuhi syarat dalam perjanjian konsesi serta perundangan yang berkuatkuasa.

“MTN Ke-79 juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 16 Februari 2021.

“Keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” tambah kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here