
TEMERLOH – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti khas kepada penjawat awam yang terlibat sebagai sukarelawan pasca banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pemberian cuti itu menarik leboh ramai penjawat awam terlibat sebagai sukarelawan pasca banjir.
“Ia membolehkan lebih ramai penjawat awam turun membantu operasi pembersihan selepas banjir, terutamanya di kawasan yang teruk terjejas dan memerlukan ramai tenaga kerja.
“Ramai yang ingin menjadi sukarelawan, tetapi kadang-kadang mereka tiada saluran sesuai, selain terikat dengan peraturan seperti tidak boleh keluar pada waktu pejabat,” katanya.
Terdahulu, Mohd Zuki hari ini selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 132 ketua keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tualang.
Menurut Mohd Zuki, pemberian cuti khas itu adalah sama seperti diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam, iaitu cuti tanpa rekod diberikan kepada pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi yang menjadi sukarelawan Program Bantu Hingga Selesai anjuran kementerian itu.
Beliau dalam pada itu berkata kementerian-kementerian juga akan digerakkan untuk membantu operasi pascabanjir bagi mempercepatkan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan.