Kerajaan peruntuk RM48.52 juta bagi Program Pembiayaan Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil – PM

0
8
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM48.52 juta ringgit bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata, pemberian ini merupakan satu komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil.

PErdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan HPPK 2021 dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi Program Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022.

“Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan 0 peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan/ perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK 2021) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya, hari ini.

Kedua-dua program tersebut yang dianjurkan oleh dua kementerian berlainan iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dianjurkan secara berkembar.

Sementara itu, Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh KPKT pula mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here