Kerajaan tingkatkan nilai bankrap kepada RM100,000

0
471
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk
memberi perlindungan kepada mana-mana pihak yang masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967) dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (2020).

“Dalam menyokong peminjam dari golongan B50, seperti mana yang telah diumumkan pada 13 Oktober 2021, industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Di bawah URUS, peminjam akan mendapat manfaat seperti pengecualian faedah atau aqkeuntungan untuk tempoh tiga bulan, penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan peminjam.

“Dan sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang untuk menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing dengan mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

Katanya, langkah itu bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi.

“Kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

“Syarat-syarat lain adalah pinjaman atau pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September 2021 dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar.

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, bagi pengusaha mikro pula, dana sebanyak RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus selama sekurangkurangnya enam bulan bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000.

Pada masa sama, katanya, turut ditawarkan ialah moratorium segera di antara enam hingga 12 bulan tertakluk kepada terma dan syarat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here