
PUTRAJAYA – Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan berhubung kes rasuah melibatkan dana projek solar hibrid RM1.25 bilion ditolak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah ketika menyampaikan keputusan berkata, mahkamah juga menolak permohonan perayu untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Seri Ram sebagai Ketua Pendakwaan kes terbabit, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Hanipah berkata, keputusan itu dicapai kerana Mahkamah Tinggi Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pelepasan (reliefs) seperti yang dipohon pasukan pembelaan.
“Pelepasan (yang dipohon pembelaan) adalah ‘declatory order’, iaitu peruntukan spesifik di bawah Akta Pelepasan Khusus 1950. Sehubungan itu, kedua-dua permohonan perayu ditolak,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.