Kes SRC: Najib ikrar berjuang hingga ke nafas terakhir

0
70
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disabitkan kesalahan atas tuduhan salah guna kuasa berhubung kes SRC International berikrar untuk berjuang hingga ke nafas terakhir.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam itu bukan pengakhiran buatnya.

“Mungkin inilah perjalanan yang ditakdirkan. Saya hadapi dengan tenang dan redha.

“Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia. Ini bukan pengakhiran juga. Tidak sama sekali kerana ikrar saya kekal, berjuang ke nafas akhir untuk kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau akan terus berjuang dengan membuat rayuan berhubung kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Najib berkata, beliau percaya akan mendapat keadilan seadilnya.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, saya nyatakan atas nama Allah. Wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak minta dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta itu. Mahkamah akhirat nanti hakimnya Allah,” katanya.

Sementara itu, Najib turut menegaskan dirinya sebagai tidak bersalah dan akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

“Saya dibicara di mahkamah, saya juga dibicara di mahkamah rakyat. Didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun sebab hakim kata ianya bukan hak saya untuk sedekahkan RM42 juta yang saya tidak pernah sorok, tidak pernah minta dan tidak pernah arahkan untuk dipindah kepada akaun saya.

“Bahawa ini adalah kesalahan bawah AMLA. Malah mahkamah juga telah diberitahu oleh pihak Ambank dan SPRM bahawa saya turut menerima RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang saya juga telah sedekahkan sepenuhnya bagi pelbagai aktiviti CSR dan program Rakyat.

“Saya tidak didapati bersalah mencuri RM42 juta untuk kegunaan peribadi saya. Sebaliknya maklumat dan bukti bahawa keluarga dan proksi individu-individu tertentu yang merupakan saksi kes SRC yang telah didapati menerima sekurang-kurangnya RM65 juta dan RM85 juta untuk disorok dalam akaun Singapura tidak pula pernah didakwa dan diberikan peluang kepada saya untuk digunakan sebagai bukti baharu bagi pembelaan kes saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here