Kesemua pelajar terlibat kes buli ditamatkan pengajian – MARA

0
797
AZHAR ABDUL MANAF

CYBERJAYA – Kesemua 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam satu kes buli yang menjadi tular baru-baru ini, ditamatkan pengajian.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf menerusi satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, keputusan menamatkan pengajian para pelajar itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM), dicapai selaras dengan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA,” kata Azhar dalam kenyataan itu.

Beliau menambah, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

“Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” katanya lagi.

Pihak MARA, tegas Azhar, komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah, dan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here