Khairy minta maaf program kerajaan langgar SOP

0
100
Antara pengunjung yang hadir program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC

CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon maaf berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, Khamis lalu.

Khairy mengakui pelanggaran SOP pada majlis bagi meraikan kejayaan kerajaan dalam tempoh 100 hari pentadbiran itu, menjejaskan kredibiliti mesej dan saranan KKM berhubung pematuhan SOP.

Berikutan itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan ia tidak berulang dan merayu supaya rakyat tidak mengikut kesilapan sama, sebaliknya tetap tegas dengan pematuhan SOP bagi memastikan pandemik itu berjaya dikawal.

“Saya sedar rakyat sedang marah disebabkan apa yang telah berlaku pada acara yang sepatutnya meraikan kejayan kerajaan.

“Namun, kekhilafan telah berlaku dengan beberapa insiden kesesakan yang saya sangat kesali.

“Kita minta maaf kepada rakyat tentang apa yang berlaku, tapi kita kena pandang ke hadapan. Kerajaan juga akan belajar daripada insiden yang berlaku dan kita akan buat lebih baik untuk masa akan datang.

“Tapi janganlah disebabkan kesilapan kami di pihak kerajaan, rakyat enggan patuh kepada SOP. Kita kena sentiasa sama-sama berjuang menentang pandemik ini,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun maksimum RM1,000 kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri yang menjadi penganjur program itu berikutan pelanggaran SOP membabitkan penjarakan fizikal.

Dalam pada itu, bagi penganjuran program akan datang, Khairy menyarankan kerajaan menggunakan agensi atau kementerian yang sudah biasa menganjurkan acara besar seumpamanya, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“KKM tidak halang penganjuran kerana Kuala Lumpur dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita benarkan acara, majlis perkahwinan dan seumpamanya.

“Cuma, kena jaga SOP. Tidak timbul soal kenapa KKM tidak halang kerana ia memang dibenarkan, tapi kegagalan dari segi pelaksanaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here