Kit Ujian Pantas Covid-19 diwartakan barang kawalan berkuat kuasa hari ini

0
22
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) diwartakan sebagai barang kawalan berkuat kuasa hari ini.

Kerajaan mengambil langkah proaktif ini bagi menjamin bekalan kit ujian itu mencukupi di pasaran, kata Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

Kit ujian itu diwartakan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 Nov lepas dan dikuatkuasakan pada 1 Dis.

Kata Azman, buat masa ini, bekalan kit ujian itu didapati mencukupi di pasaran dan sehingga kini tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima oleh pihak KPDNHEP.

“KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada peniaga supaya terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 ini bagi mengelak tindakan tegas diambil oleh pihak Kementerian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Azman lagi, peniaga yang melakukan kesalahan berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi individu; manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Beliau berkata, kit ujian itu boleh diperolehi di farmasi dan fasiliti kesihatan, serta di premis-premis berdaftar seperti pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dengan menghantar maklumat ke Whatsapp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep; Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here