KKMM lancar 3 Program untuk Keluarga Malaysia

0
27
Mohammad Mentek (tengah) pada majlis pelancaran tiga inisiatif KKMM yang dilancarkan di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini melancarkan tiga program sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Tiga program dengan kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian itu adalah pelancaran platform RTMKlik, inisiatif ‘Kotak Kasih’ dan kempen #SayaDigital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Majlis perasmian itu disempurnakan serentak oleh Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Orang ramai hadir pada majlis pelancaran 3 Program Bantu Keluarga Malaysia hari ini.

RTMKlik merupakan platform penyiaran ketiga daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang boleh diakses secara penstriman awam.

Kotak Kasih pula adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat e-dagang, Shopee.

Sebanyak 10,000 pek Kotak Kasih mengandungi barangan asas dan makanan diagihkan kepada ahli komuniti kreatif dan kumpulan B40.

Mohammad Mentek (tengah) pada majlis pelancaran inisiatif ‘Kotak Kasih’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Manakala kempen #SayaDigital pula adalah usaha pemulihan negara pasca pandemik Covid-19 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Turut dilancarkan kempen #SayaDigital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta penyerahan geran automasi digital dan kandungan digital.

Mohammad Mentek (tengah) pada majlis pelancaran geran automasi digital dan kandungan digital.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, beliau menyambut baik usaha tersebut sebagai bantuan yang meringankan beban seluruh Keluarga Malaysia.

“Usaha dan kerjasama ini perlu diterapkan dalam semua peringkat masyarakat.

“KKMM sentiasa prihatin terhadap nasib semua Keluarga Malaysia yang terkesan susulan pandemik ini,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat membantu dan membekalkan kotak-kotak bantuan kepada komuniti kreatif tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif amal #ShopeeGivesBack.

“Inisiatif ini sejajar dengan usaha berterusan untuk menyokong komuniti tempatan dan kami berharap Kotak Kasih ini dapat membawa keceriaan kepada keluarga yang menerimanya,”jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here