Konvoi bawa PM diberi keutamaan laluan bagi elak kemalangan

0
58
Tangkap layar satu video berdurasi 29 saat yang menunjukkan sebuah kenderaan opacuan empat roda dan ambulans ditahan di satu simpang bagi memberi laluan kepada konvoi yang membawa Perdana Menteri.

CYBERJAYA – Konvoi yang membawa rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Hulu Langat pagi semalam diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang dilaksanakan oleh anggota trafik bertugas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, sekiranya anggota trafik di persimpangan berkenaan memberi keutamaan kepada kenderaan pacuan empat roda dan ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang hendak keluar ke jalan utama, tindakan itu akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya.

“Kejadian tersebut berlaku semalam kira-kira pukul 11.30 pagi semasa rombongan perdana menteri dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16, Hulu Langat dengan diiringi oleh polis trafik.

“Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit dan anggota bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa singkat.

“Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan. Tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No.9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, sebaik sahaja konvoi berkenaan melepasi persimpangan tersebut dalam tempoh singkat, anggota trafik telah pun mengambil langkah segera dengan memberi laluan kepada kenderaan pacuan emoat roda dan ambulans itu setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku.

Dalam pada itu, Azman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 29 saat dipercayai dirakam oleh orang awam yang memaparkan kenderaan dinaiki perdana menteri melalui sebuah jalan dengan diiringi rombongan beberapa kenderaan lain.

Video berkenaan turut memaparkan sebuah ambulans dihentikan di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here