KPLB perkenal program pemasaran online khusus bantu usahawan wanita luar bandar

0
10

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan Program USANITA-Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB khusus untuk membantu usahawan wanita di luar bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, platform khas itu disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar untuk memahirkan diri dalam menggunakan medium atas talian untuk memasarkan produk mereka.

“Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, kementerian telah memperkenalkan program [email protected] bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara atas talian.

“Inisiatif itu adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun serta Pengarah Urusan V5, Datuk Mohd Syafiq Abdullah.

Mahdzir berkata, pihaknya, mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan
luar bandar khususnya dalam aspek pemasaran produk mereka secara atas talian yang kini menjadi saluran yang sangat berkesan.

Katanya, usahawan di luar bandar perlu pantas mengambil peluang pemasaran secara digital itu dan tidak boleh ketinggalan dalam meluaskan pasaran produk mereka.

“Penjenamaan dan pemasaran secara digital bukan sahaja boleh dimanfaatkan di dalam negara, malah melangkau pasaran seluruh dunia yang mampu dicapai menerusi platform atas talian.

“Penjenamaan itu amat penting untuk membina nilai percaya pembeli terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan, kadang kala orang membeli bukan kerana faktor jenama semata-mata, tetapi kerana mereka ingin mengguna dan memerlukan
produk itu.

“Jadi di sinilah pentingnya penjenamaan dan pendigitalan produk usahawan walaupun mereka berada di luar bandar tetapi jualan produknya boleh menembusi pasaran satu dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, dalam fasa pemulihan kesan pandemik Covid-19 kini, sudah tiba masanya usahawan luar bandar untuk bangkit semula dengan memperkasakan
penjenamaan dan pendigitalan produk keluaran mereka sekaligus memulihkan ekonomi dan pendapatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, usahawan wanita yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program berkenaan melalui talian 03-41313041 atau dengan melayari laman sesawang www.usanita.com.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here