KPWKM nafi tuduhan pengguna media sosial

0
43
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan tuduhan yang menjadi tular di media sosial bahawa pihaknya menganjurkan ‘skim’ yang menguntungkan syarikat penganjur program keusahawanan terkenal di Malaysia atas dasar ‘kroni’.

KPWKM dalam satu kenyataan hari ini turut menyelar tindakan tanpa usul periksa yang dibuat oleh pemilik akaun Twitter itu kerana menggunakan bahasa kesat, dakwaan palsu, membuat tohmahan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

“Dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak benar kerana kerjasama yang dilakukan dalam Program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) adalah merupakan satu kolaborasi strategik antara KPWKM dengan syarikat tersebut tanpa kos.

“Pemilihan syarikat itu sebagai rakan strategik adalah berikutan kemampuan dan prestasi syarikat berkenaan terbukti dengan kejayaan melahirkan ribuan usahawan jutawan yang berjaya,” kata KPWKM dalam kenyataan itu.

KPWKM turut berkata, pihaknya turut melaksanakan kolaborasi strategik dengan beberapa syarikat lain yang berpotensi dan mempunyai rekod pencapaian yang baik Syukor Dagang Sdn. Bhd.; Leong Hup International Berhad; HEYHO Sdn. Bhd; DSAB Holdings Sdn. Bhd.; dan UniKL Resources Sdn. Bhd. bagi mengukuhkan lagi ‘networking’ para peserta selepas mereka mengikuti program.

Kenyataan itu turut menegaskan, mana-mana pihak ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan perkara tersebut supaya berhubung dengan Urusetia Wanita Bangkit, Jabatan Pembangunan Wanita.

“Kementerian turut ingin mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau perkongsian agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ianya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain turut berdepan tindakan saman di mahkamah,” tegas kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here