Kutipan hasil negara meningkat 8.9 peratus – kata Perdana Menteri

0
12
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kutipan hasil negara mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion berdasarkan prestasi sehingga akhir bulan lalu.

Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) hari ini yang membincangkan prestasi terkini kewangan kerajaan persekutuan.

“Berdasarkan prestasi sehingga akhir November, kutipan hasil mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

“Jawatankuasa berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada KDNK akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata,
berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada enam peratus daripada KDNK.

Katanya, inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha itu.

Beliau berkata, dalam jangka sederhana, kerajaan kekal komited terhadap sasaran
defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas
(RMKe-12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik Covid
-19 melanda negara.

“Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMKe-12. Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan kerajaan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here