KWSP sokong henti pengeluaran bawah skim i-Citra, tiada peruntukan benarkan untuk bencana alam

0
35
KWSP

CYBERJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan tiada peruntukan dalam aktanya yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak lagi menggalakkan pengeluaran dana bagi tujuan lain demi melindungi masa depan rakyat Malaysia selepas bersara.

Selain itu katanya, KWSP sentiasa meberikan komitmen untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

Ditubuhkan sejak 1951 katanya, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) sudah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here