Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami dilepas tanpa bebas

0
46
Neelofa dan suami sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.

SEREMBAN – Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepas tanpa membebaskan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail daripada pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai permaidani di Nilai, Mei lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, memetik laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu Mohd Firdaus turut menetapkan 21 Disember ini bagi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling memaklumkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan sebelum ini telah dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui media berkata, beliau berpuas hati apabila pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya.

“Representasi kami telah pun diterima Jabatan Peguam Negara. Kes ini bukanlah perkara besar tetapi dibesar-besarkan.

“Kita agak gembira dengan keputusan ini walaupun kita rasa boleh menang dengan cara mudah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang disabitkan,” katanya lapor Sinar Harian.

Pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here