Lapan negara disenarai dalam sekatan perjalanan sementara

0
31
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Sebanyak 8 buah negara diletakkan dalam senarai sekatan perjalanan sementara berikutan penularan varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, negara tersebut adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, dan terbaharu Malawi.

“Hari ini, Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara.

Beliau menambah, kaedah ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, semalam.

Dalam mengukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa, Khairy berkata penggunaan sistem ‘autogate’ Jabatan Imigresen diberhentikan sementara berkuat kuasa serta-merta.

“Warganegara Malaysia yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif Covid-19 varian Omicron (pula) akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya lagi.

Khairy Jamaludin turut menegaskan, langkah-langkah yang diperkenalkan ini adalah berbentuk sementara dan sama ada diperketat atau tidak, adalah berdasarkan kepada maklumat yang diterima dan penilaian risiko yang dibuat oleh kementeriannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here