Lebih 500,000 pencari kerja dapat tawaran kerja tahun ini – PM

0
4
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 3 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka tersebut melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.

“Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, setakat 3 Disember lalu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya 2.0) telah berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

Beliau berkata, PenjanaKerjaya dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada
pekerja sehingga RM7,000.

“MySTEP yang merupakan inisiatif Kerajaan dengan nilai RM700 juta telah berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini dengan menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 41,680 orang pekerja telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka. Di bawah program tersebut, pemohon telah ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian
Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad, KWSP dan Khazanah Nasional,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata,
selain kedua-dua program itu, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

Katanya, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here