Majlis graduasi Raudhah College berlangsung gemilang

0
125
Kumpulan aunties Brainy Bunch yang menerima diploma mereka selepas Majlis Konvokesyen ke-10 dan 11 Raudhah College, di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Seramai 60 guru tadika Brainy Bunch hari ini menerima diploma mereka pada Majlis Konvokesyen ke-10 dan 11 Raudhah College yang diadakan di Dewan Besar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Raudhah College, Noriha Mohd. Zain berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan mereka kerana berjaya menamatkan pengajian walaupun berdepan dengan bebanan tugas harian.

“Raudhah College menawarkan kumpulan ‘in-service teachers’ ini dengan program sepenuh masa khas pada hujung minggu, kerana waktu harian mereka dipenuhi dengan jadual pengajaran anak-anak (Brainy Bunch).

“Saya amat berbangga dengan mereka dan berharap supaya semangat yang sama dapat diterapkan kepada para pelajar mereka nanti,” kata Noriha.

Beliau menambah, para pelajar yang menamatkan pengajian di Raudhah College sudahpun mempunyai pekerjaan, kerana mereka ditawarkan tempat sebagai pengajar di cawangan Brainy Bunch di seluruh Malaysia setelah tamat pengajian.

Kumpulan guru ini yang digelar sebagai ‘aunties’ di Brainy Bunch, merupakan sebahagian daripada 445 lepasan Raudhah College yang diraikan dalam majlis yang diadakan secara gilang-gemilang itu.

Majlis tersebut yang dianjurkan dalam dua sesi – pagi dan petang – melibatkan para graduan Raudhah College dari kampus Cyberjaya dan Bukit Merah, Perak.

Sesi pertama yang berlangsung menyaksikan penganugerahan ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak yang disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Azizah Zain.

Diikuti oleh penganugerahan diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak disempurnakan pula oleh Noriha.

Sesi petang yang berlangsung seterusnya menyaksikan penganugerahan diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Raudhah College Bukit Merah, Muhammad Adib Soffian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here