
CYBERJAYA – Pusat beli belah Malakat Mall hari ini menerima kunjungan sekumpulan golongan asnaf yang dibawa khusus bagi membeli barangan keperluan dan keperluan sekolah menjelang tahun 2022.
Golongan berkenaan yang terdiri daripada keluarga B40 di sekitar Lembah Klang, dibawa hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction.

“Program ini dianjurkan bagi membantu golongan asnaf dalam menghadapi Tahun Baharu yang akan datang, terutamanya bila berdepan dengan musim persekolahan baharu nanti,” kata Pegawai Perhubungan Awam MyFundAction, Zowie Bahar.
Zowie menambah, setiap keluarga diberi RM200 untuk berbelanja barangan keperluan manakala pakaian seragam sekolah pula ditaja oleh jenama Seragam keluaran Kumpulan Malakat Eco.

Selain itu, para keluarga asnaf berkenaan turut menerima layanan istimewa apabila pengalaman membeli-belah mereka turut ditemani oleh tetamu istimewa yang terdiri daripada para selebriti dan artis yang dijemput khas bagi memeriahkan suasana.
Antara selebriti yang hadir termasuk Anas Tahir, Aidil Maula dan Siti Nordiana.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Hilmi Ismail pula berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penganjuran program sedemikian, kerana ia amat bertepatan dengan tujuan kumpulan.
“Kita ada tujuan yang sama iaitu bangunkan anak-anak muda Malaysia supaya mereka kemudiannya dapat menyumbang semula kepada masyarakat, dan pihak yang memerlukan,” kata Hilmi.