Malaysia jana lebih RM33.9 bilion pulangan perdagangan dan pelaburan di Expo 2020 Dubai

0
16


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

CYBERJAYA -Malaysia telah berjaya menjana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam tempoh 8 minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dicapai menerusi 43 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat, serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, pencapaian itu juga disumbang menerusi usahasama rentas kementerian melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi-agensi di bawah kementerian-kementerian ini serta syarikat swasta.

“Bagi memastikan pencapaian dan sinergi yang lebih padu, penyertaan rentas kementerian ini telah diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem startup yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan.

“Malaysia juga telah berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada MOSTI kerana menerajui penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai, bersama Malaysian Green Technology and Climate sebagai agensi pelaksana.
Dengan perkembangan positif ini katanya, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi.

“Ia juga membuktikan bahawa syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik.
“Momentum ini dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

“Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan Energising Sustainability telah merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga 3 Disember 2021,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pavilion Malaysia telah menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharjah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here