Mangkuk tingkat angkat martabat wanita

0
35
Produk Tiffin Jeiwa yang menjadi ‘nadi’ penggerakan Jeiwa, iaitu sebuah pertubuhan sosial yang diasaskan pemiliknya, Nor Fadilah Mohamed Nizar.

KUALA LUMPUR – Berpegang kepada prinsip ‘Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada yang lain’, Nor Fadilah Mohamed Nizar menceburi bidang perniagaan dengan hasrat untuk menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada golongan wanita.

Kini perniagaan menjual mangkuk tingkat yang dijenamakan sebagai Tiffin Jeiwa miliknya menjadi ‘nadi’ perjuangan sosialnya melalui pertubuhan Jeiwa (Johor Empowerment Of Intellectual Woman Association) yang diasaskan kira-kira 5 tahun tahun lalu.

Nor Fadilah merupakan salah seorang daripada pemilik perniagaan yang membuka gerai niaga pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Dalam berpuluh-puluh pempamer yang turut mengambil bahagian di pameran usahawan AKM, produk Tiffin Jeiwa antara yang paling mencuri perhatian.

Klasik, elegan dan menonjol dengan rekaan yang fresh. Itulah komen-komen yang selalu diterima beliau daripada pengunjung.

Menurut Nor Fadilah, beliau memilih mangkuk tingkat sebagai ‘ikon’ utama dalam barisan produk perniagaannya kerana nilai dan keakrabannya dengan kaum wanita.

Katanya, berbekalkan sentuhan rekaan baharu dan lebih kontemporari, Tiffin Jiwa memperkenalkan seni yang mencerminkan kewanitaan, tempat-tempat bersejarah dan juga identiti Malaysia dalam setiap rekaannya.

“Tema utama produk-produk kami bercorakkan batik, etnik, floral, fantasi, traditional dan tempahan khas yang direka oleh anak-anak tempatan.

“Setiap satu rekaan pula adalah eksklusif dan tidak dihasilkan semua,” ujar bekas pegawai tadbir dan diplomatik dan aktivis sosial sepenuh masa itu.

Nor Fadilah Mohamed Nizar mempamerkan produk Tiffin Jeiwa ketika ditemui di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini
Setiap produk dihasilkan secara eksklusif oleh pereka tempatan.

Berbekalkan kualiti dan keunikan itu, produk Tiffin Jiwa ditawarkan pada harga yang lebih tinggi berbanding mangkuk tingkat kebanyakan iaitu pada harga bermula RM300 sehingga ribuan ringgit.

Mengulas kaitan perniagaannya dengan pusat komuniti yang diwujudkan, Nor Fadilah berkata, setiap pembelian produk akan membantu meningkatkan keupayaan pertubuhan Jeiwa Power House membantu golongan wanita melalui penyediaan bantuan, latihan dan peluang perniagaan.

“Di Jeiwa Power House, kami kerap menganjurkan sesi seminar dan kursus untuk menyedarkan mereka bahawa sentiasa ada peluang kedua untuk bangkit dan baiki kehidupan.

“Yang paling utama adalah untuk mengenal diri sendiri dan mengangkat potensi diri kerana kebarangkalian yang ada pada dunia sekarang tiada batasnya,” katanya.

Pelbagai tema corak membangkitkan semula nilai estetika mangkuk tingkat.

Bersandarkan pada perniagaan yang semakin berkembang itu, beliau akui pertubuhan sosial yang tidak menerima tajaan atau pun derma daripada mana pihak secara tetap itu mampu memberikan impak positif kepada wanita.

Bahkan katanya, perniagaan itu juga secara tidak langsung membuka peluang pendapatan kepada kira-kira 50 ejen yang kebanyakannya hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selepas pandemik Covid-19.

“Kebanyakan mereka terlibat melakukan promosi di media sosial atau mengambil tempahan daripada kenalan. Sambutan cukup baik memandangkan produk kami sangat unik.

“Malah ada yang mampu menjana pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 ,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk ini atau Jeiwa Power House boleh menghubungi Ina di talian 0167377022.

Pusat komuniti Jeiwa yang diwujudkan untuk memberi peluang dan pendedahan perniagaan kepada golongan wanita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here