
PUTRAJAYA – Mangsa banjir boleh mendapatkan baucar bernilai RM500 untuk membeli barangan elektrik bermula 7 Januari ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Beliau berkata, setiap ketua isi rumah yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian di bawah SAVE seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
“Perincian berkenaan inisiatif penambahan premis pembelian ini akan diumum pada 7 Januari depan dan pada tarikh sama individu yang layak boleh mengadakan pembelian dan rebat diberikan secara terus,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan baucar pembelian peralatan elektrik untuk mangsa banjir.
Ismail berkata, setiap ketua isi rumah yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pihaknya juga bercadang menambah jumlah premis perniagaan yang menawarkan pembelian peralatan elektrik untuk mangsa banjir di bawah program penjimatan elektrik ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE).
Katanya, ketika ini terdapat 1,400 premis sedia ada yang tersenarai dan jumlahnya akan ditambah bagi memudahkan mangsa banjir membuat pembelian.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, individu yang layak boleh membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada dan PGMall.
Katanya,setakat ini data sedia ada sebanyak 80,000 isi rumah yang layak dan jumlahnya akan dikemaskini dari masa ke semasa.
“Pengesahan pembelian akan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memudahkan setiap individu yang layak ketika membuat pembelian,” katanya.