Mangsa pertama tanah runtuh di Cameron Highland ditemui mati tertimbus

0
221
Pasukan mencari dan menyelamat berusaha membawa keluar mangsa pertama dalam kejadian tanah runtuh petang tadi

IPOH – Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang lelaki yang juga pemandu lori yang tertimbus bersama kenderaan dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai di sini kira-kira pukul 8 malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar merupakan pemandu lori yang membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti mangsa pertama itu berjaya dikenal pasti dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Operasi mengeluarkan mangsa masih diteruskan dan pasukan penyelamat mengalami kesukaran berikutan kenderaan tersebut tertimbus dengan tanah,” katanya memetika laporan Sinar Harian di sini pada malam Khamis.

Beliau turut mengesahkan terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ditemukan terbalik dalam kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, bilangan sebenar mangsa terperangkap dalam kenderaan itu masih belum dikenal pasti.

“Operasi masih diteruskan sehingga kesemua mangsa berjaya ditemui sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Operasi dilakukan oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Kuala Lumpur turut digunakan bagi membantu mengesan mangsa lain yang masih tertimbus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here