MARA hantar 208 pelajar bantu baik pulih barang elektrik mangsa banjir

0
56
Antara pelajar dan pelatih IKM dan GIATMARA yang membantu mangsa banjir di Klang hari ini

KLANG – Serama 280 pelajar dan pelatih kelolaan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik di rumah mangsa banjir di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kumpulan itu terdiri daripada pelatih dan pelajar GIATMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Beliau berkata, selain pendawaian elektrik rumah, mereka juga akan membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

“Kita telah mula menggerakkan inisiatif MARA Prihatin melalui GIATMARA serta Institut Kemahiran MARA (IKM) ini dengan kemahiran yang ada pada pelatih dan pelajar dari kedua-dua institusi tersebut mulai hari ini.

“Kita memahami kesukaran penduduk berkaitan masalah pendawaian elektrik yang rosak dan berisiko dalam bahaya selepas rumah ditenggelami air banjir selain kesukaran dari segi kerja-kerja membersihkan kawasan rumah dan juga premis-premis bangunan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara pelatih dan pelajar yang terlibat adalah daripada Program Diploma Kompetensi Elektrik (DCS) dan Sijil Teknologi Kimpalan (STK).

Jelas Mahdzir, lokasi tumpuan utama sukarelawan GIATMARA dan IKM itu adalah di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Padang Jawa, Klang.

Katanya, program Khidmat Masyarakat MARA [email protected] itu diketuai oleh Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun yang turun padang bersama pegawai kanan MARA, GIATMARA serta IKM di Padang Jawa.

“Mereka ini akan mula bergerak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa, Klang dan ke lokasi seterusnya mengikut kesesuaian lokaliti memandangkan sebahagian besar kawasan masih belum boleh dimasuki oleh orang awam kerana paras banjir yang masih belum surut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain sukarelawan yang berkemahiran dalam kerja-kerja pembaikan, MARA turut menggerakkan lebih 300 sukarelawan warga kerjanya, anak-anak syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar dibawah kawal selianya.

Katanya, mereka dihantar ke lokasi banjir di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu bagi membantu mangsa bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

“MARA juga telah mengenal pasti 2,008 warga kerja termasuk kakitangan anak-anak syarikatnya dan juga pelajar dibawahnya yang menjadi mangsa banjir.

“Bantuan segera berupa wang tunai, barangan makanan, pakaian serta keperluan lain telah disalurkan kepada mereka termasuk dibantu dari segi kerja pembersihan rumah mereka,” jelas Mahdzir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here