MARA tawar kemudahan penjadualan semula pinjaman bagi mangsa terjejas banjir

0
12
Sukarelawan MARA sedang melakukan gotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat, hari ini. – fb/Majlis Amanah Rakyat

CYBERJAYA – Peminjam Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terjejas dengan insiden banjir di beberapa negeri ketika ini boleh mengunjungi mana-mana pejabat agensi tersebut bagi proses penjadualan semula pembayaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, kemudahan penjadualan itu diberikan kepada mereka yang mengambil pinjaman pelajaran, pinjaman perniagaan serta yang mahu memohon pengecualian bayaran sewa premis perniagaan.

Azhar (kiri) turut turun padang bersama sukarelawan MARA melakukan gotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat, hari in

“Bagi mereka yang kita tak tahu tempat yang terkesan seperti peminjam pinjaman pelajaran MARA. Kita tidak tahu alamat dan sebagainya, mereka boleh kemukakan permohonan pada pejabat MARA, sama ada di peringkat negeri atau ibu pejabat.

“Tapi bagi mereka yang terjejas, yang kita tahu tempatnya, pegawai kita sendiri akan pergi ke premis dan peminjam,” kata Azhar ketika ditemui pada program gotong-royong membersihkan rumah penduduk di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di Kuala Langat, hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, kira-kira 1,000 sukarelawan di bawah komuniti MARA antaranya pelajar dan kakitangan agensi berkenaan, telah digerakkan bagi menolong dan membersihkan rumah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang sejak minggu lepas.

Beliau berkata, antara bantuan yang dihulurkan ialah kerja pembersihan, perkhidmatan pendawaian rumah, pemeriksaan serta pembaikan perkakasan elektrik secara percuma bagi kerosakan kecil.

Jelasnya, pihaknya terlebih dahulu akan mendapatkan maklumat di sesebuah kawasan yang terlibat sebelum menghantar pelajar dan guru Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GIATMARA ke tempat yang memerlukan bantuan berkenaan.

“(Baiki barang elektrik) sudah ada kita ada buat di Padang Jawa, Shah Alam minggu lepas, juga di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. Namun, kita baiki peralatan dengan kerosakan minimum sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here