MARii tawar kerja untuk graduan kejuteraan di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia

0
30
MARii menawarkan program ICE dan IPC khusus graduan kejuteraan

KUALA LUMPUR – Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) menawarkan program pelatih dalam program Kejuruteraan Pensijilan Industri (ICE) dan program Sijil Profesional Diterajui Industri (IPC) khusus untuk graduan bidang kejuteraan memulakan kerjaya.

Peluang pekerjaan itu ditawarkan dalam Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Menurut MARii dalam satu kenyataan, program Kejuruteraan Pensijilan Industri (ICE) dibangunkan sebagai mengiktiraf keperluan untuk memenuhi permintaan modal insan berkemahiran industri.

Katanya, ICE ialah program yang disediakan untuk graduan kejuruteraan memulakan kerjaya mereka dalam industri melalui sukatan pelajaran yang bersesuaian supaya mendapat pekerjaan dalam industri khususnya dalam sektor automotif selepas tamat pengajian.

“Program ICE terdiri daripada pendedahan intensif selama enam bulan kepada pelbagai kemahiran dan pengetahuan dalam industri automotif.

“Pelatih dilatih dengan kemahiran dalam reka bentuk produk dan proses, serta proses pembuatan dan sistem pengurusan kualiti,” katanya.

Booth MARii yang bertempat di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia

Dalam pada itu, katanya, setiap pelatih juga akan didedahkan secara langsung kepada budaya kerja dalaman industri melalui hubungan langsung dengan syarikat automotif

Selain itu, katanya, MARii turut membangun program pembangunan insan menerusi program IPC yang diadakan menerusi kerjasama dan rundingan terus dengan pemain industri.

Jelasnya, IPC bertujuan melahirkan pengendali mahir melalui modul khusus industri dan latihan sambil bekerja.

“Inisiatif IPC adalah untuk mengisi jurang yang dihadapi oleh industri melalui pembangunan tenaga kerja tempatan mahir yang dapat memenuhi persekitaran pembuatan kenderaan dan komponen yang sentiasa mencabar serta berkembang pesat dalam kerumitan teknologi yang lebih tinggi.

“Struktur program IPC yang ditakrifkan memberi tumpuan kepada penghasilan tenaga kerja berbilang kemahiran yang dibuat khusus untuk semua industri pembuatan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, sepanjang 24 hari mengikuti program IPC, pelatih akan didedahkan kepada pengetahuan industri, kemahiran di tempat kerja dan budaya kerja industri pembuatan.

Katanya, pelatih kemudiannya akan diserap ke dalam industri, sama ada dalam automotif, elektrik dan elektronik dan perkhidmatan.

Ekoran daripada pendedahan ini, kebanyakan graduan IPC memasuki tenaga kerja dengan gaji permulaan yang lebih tinggi berbanding dengan rakan sejawatan mereka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here