Najib sedia hadapi sebarang keputusan rayuan esok

0
154
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak sedia menghadapi segala kemungkinan berhubung keputusan rayuannya dalam kes SRC International Sdn Bhd, esok.

Bekas Perdana Menteri itu akan mengetahui nasibnya sama ada dibebaskan atau sabitan dan hukuman dikekalkan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

“Saya sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan redha.

“Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada hambaNya dan permudahkan segalanya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang terpaksa menjalani proses kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa secara maya malam ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepadanya.

“Saya menerima banyak mesej, dapat panggilan, dan ada baca banyak posting dan komen-komen kat FB yang memberikan kata-kata sokongan dan doa juga. Amat menghargai setiap satunya,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan kekal menetapkan keputusan mengenainya akan dilakukan esok.

Keputusan akan disampaikan pada jam 9 pagi oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Ia bakal menyaksikan sama ada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dikekalkan atau digugurkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here