Nash dilantik sebagai duta Persatuan Anak Bangsa Johor

0
85
Nash (kiri) dilantik sebagai Duta PABJ dalam majlis Perasmian Kempen Pemacu Sasaran 1,000 ahli di Bukit Jalil Golf & Country Resort semalam.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Nash dilantik sebagai duta bagi Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) dalam usaha menarik minat lebih ramai anak seni dan Bangsa Johor menyertai persatuan itu.

Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 62, berkata, pelantikan itu merupakan satu kepercayaan dan amanah buat dirinya bagi mengeratkan silaturahim anak seni seni negara ini yang dianggarkan 70 peratus berasal dari dari Johor.

Beliau berkata, antara inisiatif awal dirinya sebagai duta dengan menarik serami mungkin ahli baharu PABJ tidak kira umur dalam meningkatkan jumlah keahlian yang kini sekitar 217 orang.

“Sebelum ini saya sendiri tidak tahu menjadi artis pertama menyertai persatuan ini dan terharu dipilih menjadi duta PABJ.

“Saya akan menjalankan amanah yang diberi bagi menarik lebih ramai artis Johor menyertai persatuan ini.

“Sebagai anak Muar, saya berbangga menyertai PABJ dan ia dapat dijadikan sebagai satu platform bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat Johor,” katanya pada sidang media Perasmian Kempen Pemacu Sasaran 1,000 ahli di Bukit Jalil Golf & Country Resort semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Pada majlis ini turut diadakan penyerahan watikah Penasihat PABJ kepada Mejar Jeneral Datuk Oseman Chik (B), Ahli Bersekutu, Musa, Pengerusi PABJ, Datuk Abdullah Ali dan Nash.

Sementara itu, Presiden PABJ, Datuk Mohsen Hasbollah berkata, pihaknya memilih Nash memegang peranan terbabit berikutan reputasi besar dimilikinya dan dikenali di dalam industri seni.

Menurut beliau, Nash adalah artis pertama dari Johor yang menyertai PABJ dan diharap pelantikan sebagai duta ini dapat menarik lebih golongan artis dari negeri ini menyertai persatuan itu.

“PABJ ditubuhkan dengan tujuh matlamat utama bagi memperkasa Anak Bangsa Johor dalam bidang pendidikan, pelancongan seni dan budaya, ekonomi dan keusahawanan, multimedia dan komunikasi, kebajikan dan agama, keselamatan dan kesihatan dan sukan dan rekreasi.

“Kita menyeru lebih ramai anak-anak Johor menyertai persatuan ini dan keahlian juga dibuka kepada mereka yang tinggal di luar negara bagi menyumbang dan berkongsi idea memajukan PAB,” katanya.

Ketika ini terdapat seramai 217 ahli menyertai PABJ dan Kempen Pemacu Keahlian Sasaran 1,000 ahli ini bermula bulan ini sehingga Mac 2022.

Pada Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memperkenankan penubuhan PABJ yang berperanan menyatukan anak negeri itu.

Keterangan lanjut mengenai PABJ boleh dihubungi melalui 03-80687878/7788 atau di Instagram persatuananakbangsajohor dan Persatuan Anak Bangsa Johor (Facebook). –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here