
HULU LANGAT – Walaupun kisah kira-kira 100 orang penduduk yang terpaksa bermalam di atas bumbung sebuah surau di Taman Sri Nanding di sini sudah dilaporkan sejak lima hari lalu, masih ramai yang mahu bercakap mengenai kejadian itu.
Ketika ditemui Malakat Tribune baru-baru ini, rata-rata penduduk di taman perumahan itu menyatakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap bantuan yang terlalu lambat tiba.
“Nyawa kami seolah-olah tiada nilai satu sen pun. Sejak dari magrib sehinggalah pukul 11 pagi esoknya tiada yang datang membantu. Mana pergi agensi penyelamat kita?
“Syukurlah Allah itu Maha Pengasih kepada kami. Bumbung surau yang dipenuhi manusia ketika itu tidak roboh. Kalau tidak, apalah nasib kami,” rintih Noraisah Mohd Jadal , 56.
Kesal dengan kejadian itu, dia yang tinggal tidak jauh dari Surau Al Munir tersebut menggesa kerajaan supaya memikirkan penyelesaian terbaik untuk penduduk di kawasan taman perumahan itu yang setiap tahun berdepan dengan masalah banjir.
“Apa yang saya boleh katakan, semua pihak termasuk pemimpin, agensi berkenaan dan pasukan penyelamat langsung tidak bersedia untuk membantu rakyat.
“Banjir di sini bukan perkara baru. Walaupun tidak seteruk kali ini, tapi terlaku kerap berlaku sampai 10 kali setahun. Mereka sepatutnya bersedia dari segala segi,” katanya kepada ketika ditemui baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Noraisah turut mempersoalkan pihak pengurusan Empangan Semenyih yang didakwa melepaskan air tanpa mengambil kira keselamatan penduduk di kawasan itu.
Katanya, segala ‘jawapan dan alasan’ yang disampaikan kepada orang ramai hanyalah sekadar untuk membenarkan kegagalan pengurusan pihak berkenaan sedangkan penduduk tahu bahawa ia tidak sepatutnya menyusahkan penduduk.
“Kita rakyat faham apabila berlaku banjir atau hujan, air terpaksa dilepaskan dari takungan empangan. Tapi apa langkah daripada pengalaman mereka berpuluh-puluh tahun untuk mengelakkan bencana kepada rakyat.
“Kami rakyat tidak mahu tahu secara teknikal, tapi secara logiknya air yang hampir penuh di empangan perlu dilepaskan secara berperingkat-peringkat bukannya menunggu sehingga banjir tidak dapat dielakkan,” katanya.



Sementara itu, adik Noraisah, Nasir, 54 menyeru Perdana Menteri supaya mengarahkan menteri dan ketua-ketua agensi yang berkenaan supaya melakukan kajian dan penelitian semula terhadap kawasan hotspot banjir.
“Sepatutnya dalam satu kawasan penempatan yang besar perlu ada persediaan yang rapi. Misalnya agensi penyelamat perlu bersedia apabila musim hujan tiba dengan bot dan segala keperluan lain.
“Atau mungkin perlu ditempatkan anggota-anggota agensi penyelamat di kawasan-kawasan yang berisiko supaya pemantauan dan tindakan dapat diambil dengan segera,” ujarnya.