Pakej data jam Apple mahal, syarikat telco dituntut turunkan harga

0
39
Datuk Hisamudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk memantau harga pakej data jam i-watch Apple yang ditawarkan oleh pihak telco yang disifatkan sebagai melampau dan terlalu mahal.

Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, pengguna tidak seharusnya dibebankan dengan harga kos yang hampir mencecah RM100 sedangkan jam jenama lain hanya dikenakan kadar RM10 sebulan.

“Sebilangan besar pengguna kini menggunakan jam tangan pintar (smart watch). Selain Apple terdapat jam jenama lain yang boleh berhubung dengan talian telefon yang turut menggunakan air sim, tetapi dengan kadar RM10 sebulan sahaja.

“Mengapakah pihak telco mengenakan had pakej tertentu dengan pelan RM98 sebulan terhadap pengguna yang ingin melanggan perkhidmatan air sim (i-watch)?

“Ini amat membebankan pengguna yang memilih pelan yang rendah untuk melanggan perkhidmatan air sim tersebut. Untuk makluman, sebilangan besar pengguna kini menggunakan jam tangan pintar (smart watch). Selain Apple, terdapat jam jenama lain yang boleh berhubung dengan talian telefon yang turut menggunakan air sim, tetapi dengan kadar RM10 sebulan sahaja,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pakej RM50 dapat diperkenalkan sebagai caj siling kepada pengguna i-Watch Apple.

Dalam pada itu, Hisamudin turut membangkitkan mengenai isu pembinaan Surau Ittifaqiyah di Presint 8, Putrajaya yang dibatalkan selepas bertukar kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, projek surau itu telah diluluskan sebelum PRU ke-14 lagi dengan acara pecah tanah dan sumbangan cek berjumlah RM6.5 juta juga telah dilakukan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada April tahun 2018.

“Namun, pasca Barisan Nasional (BN) tewas, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menarik balik kelulusan polisi projek ini, sehinggakan MAIWP telah membuat dasar baru, bahawa mereka tidak lagi akan menanggung 100 peratus kos pembinaan
mana-mana surau lagi.

“Dan ia akan menjadi tanggungan bersama iaitu
60:40. Untuk mencari dana sendiri sebanyak 60 peratus itu, adalah amat sukar dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Apatah lagi peruntukan
RM6.5 juta telah tersedia sejak tahun 2018.

“Jika sudah tidak ada lagi, ke manakah wang ini disalurkan? Hak tetap hak. Ia perlu dikembalikan kepada Putrajaya,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan satu dana khusus untuk penjaja di Kuala Lumpur ditubuhkan melalui Yayasan Wilayah Persekutuan dengan Kerjasama DBKL.

“Apa salahnya jika dalam satu peratus daripada hasil kutipan DBKL disumbangkan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan. Seterusnya wang tersebut akan dimanfaatkan sebagai tabung dana penjaja kecil ibu kota Kuala Lumpur.

“Jika dicongak secara matematik, satu peratus daripada RM2.56 bilion setahun hasil pendapatan DBKL, maka tabung ini akan berjumlah RM25.6 juta dapat disumbangkan sebagai dana pinjaman kepada penjaja kecil di Kuala Lumpur, melalui Yayasan Wilayah Persekutuan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here