
CYBERJAYA – Penganjur Pameran Jersi Kolektor XI Vol. 3 amat berpuas hati dengan pameran yang diadakan di Malakat Mall kali ini kerana berjaya memenuhi matlamat penubuhan kelab mereka.
Presiden Kolektor XI, Mohd. Izwan Mohd. Shah berkata, kelabnya yang ditubuhkan di atas semangat ‘Sehelai jersi menyatukan kami’ berjaya diterjemahkan pada pameran kali ini.
“Saya amat gembira dengan sambutan orang ramai kali ini.
“Kita dapat buktikan bahawa minat mengumpul jersi itu mampu menarik pelbagai golongan untuk sama-sama hadir melihat koleksi yang kita ada,” kata Mohd. Izwan sejurus tamat pameran tersebut, petang tadi.

Kata Izwan lagi, selain mengumpulkan pengumpul jersi, pameran ini juga mampu memupuk rasa minat kepada penyokong untuk membeli jersi dan juga barangan cenderahati kelab yang asli.
Pameran bersempena 100 tahun Piala Malaysia itu dirasmikan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ASP (B) Ahmad Dali Wahid.
Selain jualan cenderahati dan jersi, satu segmen bual bicara khas yang menampilkan lagenda bola sepak negara, Khairul Azman Mohamad turut diadakan, memberi peluang kepada pengunjung dan peminat arena bola sepak tempatan untuk mengenali bintang tersebut dengan lebih dekat lagi.