Pampasan penduduk Kg Sungai Baru lebih tinggi daripada RM250,000 – Shahidan

0
212
Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan jumlah pampasan yang akan diterima penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu kurang daripada RM250,000.

Beliau berkata, pampasan sebenar adalah lebih tinggi daripada nilai itu dan ia akan dimaklumkan kepada penduduk selepas mereka bertemu dengan pemaju tidak lama lagi.

“Kawasan ini ialah di Sungai Baru bukan di Kampung Bharu. Pembangunan perlu diteruskan serta merta kalau tak ia akan tertangguh.

“Jika (penduduk) tidak puas hati boleh berjumpa dengan saya bukan bercerita di media sosial. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Yang boleh selesaikan ialah kita.

“Fakta yang diceritakan tidak betul, tentang pampasan yang diterima sebenarnya adalah lebih tinggi namun akan dimaklumkan selepas penduduk dipertemukan dengan pemaju dalam pertemuan kedua nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Pushcart Shopeepay kepada penjaja di Taman Metropolitan Kepong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, sehingga kini kira-kira 68 peratus penduduk Flat PKNS itu telah menandatangani persetujuan berkenaan projek pembangunan kawasan itu.

Katanya, untuk kawasan rumah teres pihaknya masih mendapatkan maklumat lanjut.

Shahidan berkata, pihaknya juga telah meminta proses pendengaran kedua ditangguhkan bagi membolehkannya bertemu dengan semua pihak.

Beliau berkata, tiada polisi yang berubah dan pihaknya akan menyelesaikan masalah yang timbul.

“Saya baharu menyandang jawatan Menteri Wilayah dan akan selesaikan masalah ini dengan terbaik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Kelmarin, sekumpulan penduduk rumah flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Sungai Baru menyuarakan bantahan berhubung isu pampasan rendah yang diterima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here