PDRM kutip bayaran saman RM13.67 juta pada hari pertama diskaun 80 peratus

0
34
Datuk Seri Mazlan Lazim dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membuat kutipan saman sebanyak RM13.67 juta pada hari pertama tawaran diskaun pengurangan saman sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu melibatkan jumlah pembayaran saman sebanyak 287,500 di semua saluran termasuk di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kaunter trafik seluruh negara.

“Jumlah ini (RM13.67 juta) adalah bagi tempoh hari pertama semalam sahaja melibatkan kesemua saluran pembayaran termasuk di KLCC, kaunter trafik seluruh negara dan juga secara dalam talian.

“Walaupun sambutan menggalakkan namun PDRM akur dengan arahan penutupan kaunter bayaran saman di KLCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula petang ini,” katanya pada sidang akhbar di KLCC hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, orang ramai masih boleh membayar saman dengan potongan sehingga 80 peratus sehingga Ahad ini di kaunter trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

“Orang ramai juga boleh membuat bayaran secara dalam talian, sistem sudah ‘ok’ dan sehingga semalam juga ramai yang telah membuat bayaran melalui kaedah itu,” katanya.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kesihatan telah mengularkan satu kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan (Akta 342) bernilai RM 1,000 kepada pihak penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia atas kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Disamping itu, kaunter pembayaran saman PDRM dan JPJ yang disediakan di KLCC akan ditutup serta-merta bermula petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here